AMANAH SEORANG PEMERINTAH YANG AGUNG

Dalam sejarah Islam zaman dahulu ada seorang KhaIifah yang sangat terkenal kerana sifat amanahnya. Baginda ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, salah seorang diantara Khalifah-Khalifah Bani Umaiyah. Pernah diriwayatkan orang bahawa pada suatu malam tatkala baginda sedang tekun bekerja di bilik istananya, tiba-tiba seorang puteranya telah masuk untuk membincangkan suatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Setelah puteranya itu duduk dihadapannya, tiba-tiba baginda memadamkan lampu yang terletak di meja yang tadinya digunakan untuk menerangi bilik kerjanya itu. Puteranya merasa hairan melihat sikap ayahnya itu seraya bertanya: "Kenapa lampu ni ayah padamkan? Bukankan lebih baik kita berbincang di bawah lampu yang terang?" Maka ayahnya menjawab: "Benar kata kau, hai anakku! Tetapi kau harus ingat lampu yang sedang ayah pakai untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan, minyak yang dipergunakan itu dibeli dengan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda bincangkan dengan ayah adalah perkara keluarga!" Seketika kemudian baginda pun memanggil pelayannya lalu disuruhnya membawa lampu dari bilik dalam. Setelah lampu yang dibawa itu dinyalakan oleh pelayannya maka baginda pun berkata kepada puteranya: "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ni adalah kepunyaan keluarga kita, minyaknya pun kita beli dengan wang kita sendiri. Silakan kemukakan apa yang anakanda mahu bincangkan dengan ayahanda!" Demikian besarnya sifat amanah dari seorang pemerintah berkalibar besar, seorang Raja Islam yang berjiwa besar. Apabila dalam hal-hal yang begitu kecil, Khalifah Umar sanggup memelihara amanah yang diletakkan keatas dirinya, apatah lagi dalam perkara-perkara yang lebih besar, yang meminta tanggungJawab yang bukan sedikit.

homeabout ushomeabout us